Seni bina Kebudayaan_Islam

Rencana utama: Seni bina Islam
Istana kubu di Alhambra, bukti kepada puncak tamadun Islam di Eropah, ialah salah satu tarikan pelancong yang paling popular di Sepanyol.Masjid Sultan Ahmed di Istanbul disiapkan pembinaannya pada 1616.Gambaran burung merak jubin yang wujud sejak Zaman Uthmaniyyyah, dari Istana Kubadabad.

Unsur gaya Islam

Seni bina Islam dapat dikenal pasti menerusi unsur-unsur berikut yang diwariskan daripada masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah, serta juga daripada ciri-ciri pra-Islam lain yang disesuaikan daripada seni bina gereja dan seni bina saumaah:

  • Laman dalam yang besar yang seringnya digabungkan dengan dewan sembahyang utama (pada asalnya, satu ciri Masjid al-Nabawi).
  • Menara (pada asalnya digunakan sebagai menara pengawal yang diterangi dengan obor, misalnya di Masjid Agung Damsyik; oleh itu, terbitan perkataan "manāra" dalam perkataan Arab daripada, nur, yang membawa pengertian, "cahaya").
  • Mihrab atau ceruk pada dinding dalaman untuk menunjukkan arah ke Mekah. Ini mungkin berasal daripada penggunaan ceruk yang lalu untuk memaparkan skrol Torah di dalam saumaah Yahudi atau daripada haikal gereja Qibti;
  • Kubah (penggunaannya yang terawal dalam agama Islam adalah pada masjid abad ke-8 yang terletak di Madinah).
  • Penggunaan iwan untuk mengasingkan ruang-ruang yang berbeza;
  • Penggunaan bentuk geometri dan seni ulangan (arabes).
  • Penggunaan seni khat Arab hiasan;
  • Penggunaan simetri;
  • Pancuran penyucian;
  • Penggunaan warna yang terang;
  • Penumpuan ruang dalaman sesebuah bangunan, berbanding dengan kawasan luar.

Tafsiran

Tafsiran seni bina Islam yang umum termasuk konsep-konsep yang berikut:

  • Konsep kuasa tak terhingga Allah dibangkitkan oleh reka bentuk yang mempunyai tema ulangan yang membayangkan ketakterhinggaan.
  • Bentuk manusia dan haiwan jarang digambarkan dalam seni hias kerana karya Allah tiada tandingan. Dedaun merupakan motif yang sering digunakan tetapi biasanya digayakan atau dimudahkan atas sebab yang sama.
  • Seni khat digunakan untuk mengindahkan kawasan dalaman sesebuah bangunan dengan menggunakan petikan daripada al-Quran.
  • Seni bina Islam telah digelar "seni bina purdah" kerana keindahannya bersandarkan ruang dalaman (laman dalam dan bilik) yang tidak dapat dilihat dari luar (pemandangan dari jalan raya).
  • Penggunaan bentuk yang tersergam indah seperti kubah yang besar, menara yang melangit, dan laman dalam yang luas untuk melambangkan kuasa.